Rempah
Merupakan bahagian pokok yang kering dan berbau (aroma). Ianya boleh dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk. Contohnya:
- Biji sawi ialah bijian
- Kulit kayu manis ialah bahagian daripada batang pokok
- Lada sulah ialah buah-buahan
Herba
Merupakan bahagian tumbuhan (daun, bunga, batang, akar, buah, dan sebagainya) yang digunakan sebagai bahan perisa. Biasanya digunakan semasa ia segar kerana rasanya masih kuat. Ia juga boleh dikeringkan supaya tahan lebih lama. Contohnya:
- Kunyit
- Bunga Kantan
- Serai
- Halia
- Bay Leaf (Daun Salam)
- Daun Kesum
- Lengkuas
Semasa menyediakan makanan, rempah ratus dan herba digunakan untuk:
- Membaiki rasa
- Merangsang selera
- Membaiki warna dan rupa makanan (tekstur)
Pemilihan dan pembelian
- Herba mestilah dalam keadaan segar supaya baunya kuat dan harum.
- Rempah serbuk mesti cukup kering dan tidak berketul-ketul.
- Beli rempah dalam kuantiti yang sedikit apabila perlu supaya ia dalam keadaan segar dan baunya masih kuat.
- Seberapa boleh elak beli rempah serbuk kerana ia cepat kehilangan rasa dan bau. Rempah boleh dibuat sendiri dalam bentuk serbuk jika diperlukan.
- Beli rempah dari kedai yang banyak menjual rempah ratus seperti kedai India bagi memastikan bekalannya baru jika dibandingkan rempah yang dibeli dari pasar raya.
Penyimpanan
- Pastikan bekas menyimpan rempah dalam keadaan bersih dan kering.
- Herba perlu segera dibungkus dengan kertas dan simpan dalam peti sejuk.
- Simpan rempah dalam bekas bertutup rapat dan letakkan di tempat yang kering pada suhu bilik.
- Jika bekalan herba banyak, jemurkan sehingga ia kering dan simpan dalam kedap udara.
Jenis-jenis rempah dan kegunaannya
Kulit kayu manis
Dalam bentuk batang bergulung atau serbuk, Baunya wangi dan digunakan untuk masakan lauk pauk dan kuih muih.
Ia adalah berbentuk seperti bintang dan biasanya digunakan dalam masakan Melayu, Cina, dan India.
Ia adalah jenis bijian. Boleh digunakan sebiji, digiling atau dikisar menjadi serbuk. Biasanya digunakan untuk kari, sup dan nasi.
Cengkih
Cengkih ialah putik kering bunga cengkih yang belum kembang. Rasanya kuat dan tajam. Digunakan sebiji-sebiji untuk sup, daging, stew, nasi, kari dan dalam bentuk serbuk untuk kek, roti, biskut dan ban.
Rempah Empat Sekawan terdiri dari campuran empat rempah seperti kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih yang digunakan sebagai bahan rempah asas untuk menumis.
Jintan Manis dan Jintan Putih
|
Jintan Manis |
|
Jintan Putih |
Kedua-dua jenis rempah ini adalah bijian. Biasanya digunakan di dalam masakan Melayu, Cina dan India.
Ketumbar
Ketumbar mempunyai sedikit rasa manis. Banyak digunakan dalam masakan timur untuk membuat acar dan cutni.
Halba
Halba mempunyai rasa yang pedas, kuat dan tajam. Biasa digunakan dalam masakan seperti kari. Digunakan dalam kuantiti yang sedikit.
Halba Campur terdiri dari campuran halba, jintan manis, jintan putih dan biji sawi sebagai bahan menumis kari ikan.
Saffron / Koma-koma
Rempah yang mahal dan berwarna kuning. Ia digunakan untuk mewarnakan makanan. Kebiasannya ia dijual dalam bentuk jalur atau serbuk. Saffron perlu dibancuh dengan air untuk mendapatkan warnanya.
Serbuk Lada Kering
Serbuk lada kering dibuat dari lada yang kering. Ia sangat pedas. Ia digunakan dalam kuantiti yang sedikit untuk masakan kari, sambal, sos, dan jeruk.
Biji Sawi
Biji Sawi adalah jenis bijian. Biasanya digunakan di dalam masakan India terutama bagi kari ikan. Juga terdapat dalam bentuk pes.
Jenis-jenis Herba dan kegunaanya
Daun Kari mempunyai bau yang kuat dan sangat sesuai dimasukkan dalam masakan kari, kuih vadai, muruku, dan masakan savouri India.
Bunga Kantan mempunyai bau yang agak wangi dan digunakan untuk ramuan tambahan atau hiasan seperti Laksa. Ia digunakan di dalam kebanyakan masakan Thai.
Daun Kunyit digunakan dalam masakan Melayu bagi menyedapkan rasa masakan. Contoh masakan yang menggunakan daun ini ialah Rendang dan Gulai Masak Lemak.
Daun Limau Purut mempunyai bau yang tajam seperti bau limau. Kebiasaannya ia digunakan untuk masakan Thai seperti Tom Yam.
Pangkal batang serai mempunyai bau dan rasa yang harum. Serai boleh dititik, dihiris atau ditumbuk sebelum dicampurkan ke dalam masakan seperti rendang, sate dan gulai.
Daun Pandan mengeluarkan bau wangi dan memberi warna hijau yang menarik jika ditumbuk dan diperah jusnya. Ia digunakan untuk membuat kuih-muih tempatan, nasi lemak, kek dan pewangi sirap minuman.
Lengkuas, Halia, Kunyit
|
Lengkuas |
|
Halia |
|
Kunyit |
Ketiga-tiga herba ini adalah jenis tumbuhan akar bawah tanah. Ia mempunyai rasa dan bau yang kuat serta tajam. Halia dijual dalam bentuk segar, jeruk atau dalam bentuk minuman berhalia. Kunyit juga boleh didapati dalam bentuk segar atau pun serbuk. Ketiga-tiga herba ini biasa digunakan dalam masakan harian seperti rendang, kari, gulai lemak dan sebagainya.