Masakan Timur kini telah menjadi pilihan ramai. Selain masakan negara Malaysia, masakan Thai, Singapura, Indonesia dan juga negara-negara Asia yang lain semakin digemari oleh masyarakat tempatan. Masakan Thai yang paling popular adalah Tom Yam, manakala di Singapura pula Rojak Singapura amat digemari oleh masyarakat di sana. Malaysia mempunyai pelbagai jenis masakan kerana rakyatnya yang pelbagai kaum dan bangsa.
Berdasarkan sejarah, negara kita telah didatangi rakyat dari negara-negara jiran dan juga negara Teluk, India dan Cina yang sedikit sebanyak mempengaruhi adat resam dan budaya kita. Selain dari itu, pengaruh masakan dari negara luar juga boleh dilihat dengan wujudnya masakan yang pelbagai dan istimewa.
Hidangan India di Malaysia dibawa oleh saudagar rempah ratus dan buruh dari India dan Pakistan. Ramai menetap di sini dan mengamal adat resam dan kebudayaan dari negara asalnya. Terutama dari segi masakan yang banyak menggunakan rempah ratus sebagai makanan iringan kepada roti dan nasi.
Masakan India boleh dikategorikan kepada masakan India Utara atau Selatan. Perbezaan yang nyata sekali, di Utara India ramai yang memakan pelbagai jenis roti, manakala di Selatan, lebih ramai yang memakan nasi. Masakan India begitu sinonim dengan nasi, roti dan juga kari. Restoran makanan India di Malaysia banyak menggabungkan masakan dari Utara dan Selatan India. Walau bagaimana pun, masih terdapat ramai masyarakat Hindu yang mengamalkan sajian Vegetarian.
Keadaan geografi dan kedudukan Malaysia di Asia Tenggara juga mempengaruhi masakan. Contohnya, negeri-negeri di Utara dan Pantai Timur mempunyai pengaruh masakan Thai manakala negeri-negeri di Selatan mempunyai pengaruh dari Pulau Jawa. Masakan Sabah dan Sarawak pula dipengaruhi oleh Pulau Jawa dan Kalimantan.
Apa jua pengaruh ke atas negeri-negeri ini, makanan asasinya adalah nasi, lauk daripada ikan dan karangan laut, daging, ayam dan sayur-sayuran sebagai iringan. Hanya ramuan tambahan dan cara penyediaan yang membezakan masakan di antara satu negeri dengan negeri yang lain.
Kepentingan Masakan Timur
Di dalam industri katering masa kini, terdapat begitu banyak permintaan di kalangan pelanggan untuk menikmati pelbagai jenis masakan khususnya masakan timur. Secara tidak langsung perkembangan ini dapat meningkatkan ekonomi negara serta masyarakat luar.
Terdapat beberapa persamaan di dalam penggunaan bahan bagi menyediakan masakan Melayu, India, Cina dan juga masakan Thai. Penggunaan rempah ratus dan herba banyak digunakan sebagai ramuan tambahan dan bahan penyedap rasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan